Saturday, May 17, 2008

15 Mei vs 13 Mei - antara hari ini dan semalam

15 Mei

Tarikh yang tidak jauh dari tarikh harilahir saya. Saya tidak pernah tahu cerita disebaliknya hinggalah seorang sahabat mengingatkan saya tentang "Nakbah" Palestine.

60 tahun Nakbah (malapetaka) pembentukan Negara Haram Israel sejak 15hb Mei 1948. Istilah Nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.


Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Israel) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Zionis di Palestin.



Untuk pengetahuan lanjut mengenainya, lawati: http://21-8.blogspot.com/


13 Mei

Masih ternyiang-nyiang lagi di telinga ini ketika saya berumur 7 tahun. Saya yang amat daif ketika itu merengek dan memarahi ayahanada, memintanya membelikan kek harijadi sempena harijadi saya yang ke-7.

Namun ayahanda nyata kelihatan resah dan sunggul lantas enggan menyebut tentang 13 Mei. Kata ayahanda, "tarikh 13 Mei tidak baik, bila dah besar nanti, adik boleh cari apa yang berlaku pada hari itu ye"...lantas tiada perayaan istimewa untuk saya semenjak hari itu. Saya merajuk lantas mengadukan hal itu pada nenda yang dengan redhanya membelikan kek tanpa membantah.

Pabila saya berumur 12 tahun, saya mula mencari cerita di sebalik tarikh tersebut tetapi bagi seorang kanak-kanak yang baru mengenal dunia, ia tidak meninggalkan apa-apa kesan mendalam dalam hati hinggakan saya tidak pernah menyambutnya hinggalah saya berusia 19 tahun ketika saya berada di asrama. Saya masih tidak mampu memaklumkan pada mereka yang saya meraikan 13 Mei itu dengan meriahnya bersama teman di asrama.

Kini setelah 24 tahun, jika pun saya mengetahui sedikit sebanyak mengenai peristiwa 13 Mei 1969, namun, jauh di sudut hati, saya masih lagi tidak mampu mengungkai sejarah silam tarikh tersebut daripada ayahanda yang merupakan bekas tentera padadekad tersebut. Mungkin terlalu pahit buatnya hinggakan beliau tidak mampu mengukir senyuman meskipun apabila saya berusia 20 tahun. Kata bonda, biarlah ia menjadi sejarah untuk kita ambil sebagai pengajaran dan iktibar di masa hadapan.....


Di sini, bukanlah tujuan saya untuk menegangkan suasana jauh sekali menimbulkan huru hara. Tetapi, di sini, saya ingin berkongsi sesuatu kelainan pada ulangtahun kelahiran saya tahun ini yang saya rasa lebih bermakna. Bukan lagi 'surprise party' mahupun jamuan meriah tetapi cukuplah sekadar sahabat-sahabat saya mengambil ikhtibar dan pengajaran disebalik tarikh tersebut. Tarikh yang menbawa titik hitam buat tanahair dan agama yang kita sayangi. Itu adalah lebih bermakna buat saya.


Buat ayahanda dan bonda tersayang, maaf sekiranya anakanda pernah mengguris perasaan kalian sekiranya anakanda mengingatkan kalian pada tarikh dan peristiwa hitam itu. Ketahuilah bahawa anakanda terlalu daif ketika itu. Dan kini anakanda mungkin mengerti sedikit keperitan yang ayanhanda lalui walaupun anakanda tidak mampu menyelami sepenuhnya. Moga di tahun ini, anakanda mengharapkan doa dari ayahanda dan bonda, moga Allah permudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat kelak...

No comments: